
Di petang kala ini, aku teruja menulis tentang langit yang kurang siuman semenjak dua menjak. Visual di atas itulah buktinya. Terlihat langit kencing mengangkang ke atas Yo Maha's Favorite Twin Peaks.
Kalau berdasarkan gambar tersebut, semestinya hati terdetik dan sekaligus terfikir tentang banjir kilat yang mungkin bakal melanda kota metropolis Malaysia yang setanding namanya bilamana hujan bertandang. Apatah lagi bila angin gila yang maha garang berdengung singgah menendang di kaca jendelaku, kenyataan 'Kuala Lumpur akan banjir lagi' itu seperti hampir pasti terjadi. Pastinya satu berita gembira kepada penghuni kota yang bekerja 5.5 hari seminggu untuk tidak hadir bekerja pada keesokan harinya dengan alasan kurang kreatif seperti kereta rosak, kunci hanyut, selsema katak, ataupun seluar dalam tak kering.
Malang sekali Kuala Lumpur yang berjerebu ini tidak mengalami banjir untuk menghakis daki-daki kota. Visual di atas cuma hujan perolakan yang berlangsung setakat 10 minit sahaja. Bak kata orang putih, it's just for shows.